About FDAM

FDAM yang ditubuhkan pada tahun 1990 merupakan sebuah organisasi dan medan bagi para sutradara atau pengarah di Malaysia berkongsi pandangan, bertemu dan berinteraksi, bertukar-tukar fikiran, selain dapat menjalankan aktiviti dan acara yang meningkatkan tahap profesionalisme dan kreativiti kerjaya mereka. Ini termasuklah penyeragaman dan kepiawaian bidang penyutradaraan atau pengarahan serta segala yang berkait-rapat dengannya. Justeru, FDAM berusaha untuk memaju, menambah baik, dan meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan dalam kalangan para ahlinya supaya dapat menyumbang kepada kemajuan industri perfileman Malaysia secara kreatif, insaniah dan intelektualnya.

Antara aktiviti yang telah, sedang dan akan dijalankan termasuklah: 

1. Mengadakan program-program latihan menerusi seminar, bengkel dan forum;

2. Menjalankan penyelidikan dan kajian sebagai panduan dan rujukan ke arah meningkatkan kualiti, kemahiran, teknik dan seni penyutradaraan; 

3. Merangka dan mengeluarkan garis panduan, peraturan atau ketetapan tertentu sebagai rujukan bagi sesuatu masalah yang berkaitan penyutradaraan dalam konteks industri perfileman; 

4. Menyediakan skim galakan untuk ahli dalam bentuk penghargaan, anugerah, dan sokongan tertentu yang dibuat berdasarkan merit; dan, 

5. Bekerjasama dengan institusi, jabatan, persatuan, dan badan-badan yang berkaitan penyutradaraan dan pembikinan filem di dalam atau di luar negara; antara lainnya.

Penubuhan FDAM bukan semata-mata bertujuan untuk menjaga kepentingan ahlinya, tetapi juga bermatlamat dalam mengasah dan membangunkan para ahlinya supaya setaraf dan setanding dengan keupayaan profesional dan kreatif para sutradara luar negara. Ini kerana, secara umumnya, FDAM komited dalam usaha membangun, memaju dan mengangkat industri perfileman Malaysia ke tahap yang lebih cemerlang dan bermaruah.